MALAYSIA

Bekalan ikan cukup sepanjang musim tengkujuh - LKIM

Bernama 06/09/2025 | 21:00 MYT
Muhammad Faiz menjelaskan LKIM turut memeterai MoU dengan syarikat dan pemain industri swasta bagi memastikan rantaian pemasaran ikan berjalan lancar. - Foto fail/BERNAMA
IPOH: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan mencukupi sepanjang musim tengkujuh sekali gus mampu menstabilkan harga, kata Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil.

Beliau berkata walaupun musim tengkujuh memberi kesan kepada nelayan di Pantai Timur, langkah proaktif sudah diambil termasuk penyediaan stok simpanan lebih 1,000 metrik tan ikan oleh LKIM, manakala pihak swasta mempunyai hampir 15,000 metrik tan.

"Apabila bekalan berkurangan, stok simpanan ini akan dikeluarkan selain kita turut mengimport ikan tertentu bagi menampung permintaan. Dengan jaminan bekalan mencukupi, insya-Allah harga ikan dapat dikawal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak 2025, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz menjelaskan LKIM turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat dan pemain industri swasta bagi memastikan rantaian pemasaran ikan berjalan lancar.

"Orang tengah tetap diperlukan bagi memastikan perniagaan bergerak. Namun, saya berharap mereka menunjukkan keprihatinan dengan tidak menaikkan harga sesuka hati," katanya.

-- BERNAMA




#Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia #Parti Amanah Negara #musim tengkujuh #langkah proaktif