KUDAT: Sabah dijadualkan bakal menerima bekalan pertama vaksin jenis CanSino sebanyak 200,000 dos pada minggu hadapan.

Perkara itu disahkan Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor selepas memohon kepada kerajaan untuk membekalkan dos tunggal tersebut kepada Sabah bagi mempercepatkan capaian imuniti kelompok.

"Walaupun atas permintaan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah kita minta sebanyak 1.8 juta dos vaksin CanSino, tetapi bekalan pertama yang akan sampai dalam minggu hadapan hanya sebanyak 200,000 dos," beritahunya kepada media.

Terdahulu, Hajiji menerusi mesyuarat bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang diadakan secara maya, memohon agar kerajaan membolehkan vaksin CanSino dibekalkan ke Sabah.

Katanya, pembekalan vaksin itu dapat membantu membendung penularan jangkitan COVID-19, selain sebagai inisiatif untuk menerima seberapa banyak vaksin buat rakyat negeri terbabit.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan Pemasangan Perkhidmatan 'Very Small Aperture Terminal' (VSAT) 'CONNECTme NOW' serta Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada Khamis.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyeru agar rakyat Sabah sentiasa menitik beratkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika tempoh sukar ini.

"Inilah cabaran yang kita hadapi sekarang dalam mendapatkan vaksin untuk rakyat selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan sepanjang masa.

"Kita minta rakyat jangan mengadakan upacara keramaian ataupun apa juga acara yang boleh mengumpulkan ramai orang seperti kenduri.

"Dengan cara ini kita dapat kurangkan jangkitan COVID-19 di Sabah kerana kita pun bimbang sejak satu dua minggu ini peningkatan kes begitu ketara sekali," ujarnya.