MALAYSIA

Bekalan telur stabil, pengeluaran tempatan melebihi permintaan - KPKM

Seth Akmal 28/08/2025 | 02:10 MYT
KPKM berkata pihak industri akan menyemak harga susulan penstrukturan semula subsidi telur berkuat kuasa 1 Ogos 2025. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Bekalan telur ayam di pasaran ketika ini adalah mencukupi dan stabil, malah pengeluaran tempatan dilaporkan melebihi keperluan domestik, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Veterinar.


Ringkasan AI
  • KPKM sahkan telur Gred A, B, C dan Gred Khas tersedia dalam kuantiti stabil dan harga mampu milik.
  • Industri akan menyelaras harga jualan susulan penstrukturan subsidi bermula 1 Ogos, tanpa menjejaskan jaminan bekalan.
  • KPKM dan KPDN terus pantau pengeluaran dan harga; pelanggaran akan dikenakan tindakan di bawah undang-undang sedia ada.


Dalam kenyataan rasmi pada Khamis, KPKM memaklumkan bahawa pihak industri akan menyemak semula harga jualan susulan penstrukturan subsidi telur yang mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

“Industri akan menyemak dan menyelaras harga jualan di pasaran terbuka dari semasa ke semasa, berpandukan kepada data pengeluaran semasa.

"Pelarasan ini adalah sebahagian daripada mekanisme pasaran terbuka dan tidak menjejaskan jaminan bekalan telur kepada pengguna,” jelas kenyataan itu.

Tinjauan KPKM menunjukkan bekalan telur Gred A, B dan C kekal stabil dan boleh didapati di pasar raya, manakala telur Gred Khas pada harga mampu milik turut tersedia dalam kuantiti yang munasabah.

KPKM turut meneruskan pemantauan terhadap data pengeluaran telur serta melanjutkan pelaksanaan inisiatif Jualan Agro MADANI bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Dalam masa yang sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan pemantauan harga secara berterusan.

Sekiranya berlaku pelanggaran, KPDN akan mengambil tindakan tegas di bawah undang-undang sedia ada terhadap sebarang aktiviti pencatutan, manipulasi atau kenaikan harga yang tidak munasabah.




#bekalan telur #Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #kpdn #kos sara hidup