Bekas ADUN Bangi Amran Kasimin meninggal dunia

Bernama
Ogos 26, 2020 20:40 MYT
Amran merupakan seorang pengamal perubatan Islam dan bekas pensyarah UKM. - fotoBERNAMA
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi Datuk Dr Amran Kasimin meninggal dunia semalam pada usia 75 tahun.
Menantu beliau, Dr Lenny Suryani Safri yang mengesahkan perkara itu berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 5.56 petang di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, yang juga dikenali sebagai Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di sini.
“Abah, terima kasih atas 19 tahun yang indah. Satu penghormatan besar buat saya menjadi anak perempuan ... terima kasih di atas kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Rasa setengah nyawa Lenny hilang bah (abah),” menurutnya di laman sosial Facebook.
Beliau berkata jenazah dibawa ke kediaman Allahyarham di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang malam tadi dan akan dikebumikan pagi ini.
Menurutnya, solat jenazah akan diadakan di Surau Al Istiqomah di kampung itu pagi ini.
Amran, ADUN Bangi dari 2004 hingga 2008, juga merupakan seorang pengamal perubatan Islam dan bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta bekas Ahli Lembaga Pengarah UKM.
-- BERNAMA
#ADUN Bangi #Amran Kasimin #bekas ADUN #Hospital Canselor Tuanku Muhriz #Kajang #meninggal dunia #pengamal perubatan Islam #pensyarah UKM #Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia #solat jenazah