KANGAR: Polis menahan seorang lelaki dipercayai tidak siuman selepas memukul bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Datuk Saad @ Md Zain Hamzah, 87, di Masjid Alwi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa dikatakan sedang bersiap-siap untuk memasuki masjid bagi menunaikan solat Subuh berjemaah.

"Sebelum itu mangsa tiba di perkarangan Masjid Alwi sekitar jam 5.15 pagi dan berada di dalam kenderaannya untuk mendengar tazkirah selama 15 minit.

"Selepas selesai tazkirah, mangsa keluar dari kenderaan dan berjalan ke arah hadapan masjid.

“Mangsa berhenti sebentar untuk memasukan duit ke tabung anak yatim dan tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang mengamuk terus memukul menyebabkan mangsa terjatuh di lantai pekarangan masjid," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Susulan itu, mangsa bergegas lari ke dalam masjid dan meminta bantuan pengawal keselamatan masjid untuk menghubungi polis dan ambulans.

Mangsa yang berasal dari Bintong, Kangar dan pernah menjadi wakil rakyat Sanglang daripada 1978 hingga 1986 cedera di kepala disyaki dipukul menggunakan kerusi oleh lelaki terbabit.

Saad dilaporkan berada dalam keadaan stabil dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Yusharifuddin berkata, sejurus kejadian polis menahan suspek yang berusia 65 tahun dan dibawa ke Balai Polis Kangar.

Suspek dipercayai mempunyai masalah mental, namun, motif serangan masih disiasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.