JOHOR BAHRU: Seorang bekas agen pengurusan pangsapuri didakwa atas 23 pertuduhan rasuah bernilai RM9,600 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Tertuduh, Tay Choon Siew, 68, bagaimanpun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima suapan bernilai RM400 sebanyak 22 kali dan RM800 daripada seorang kontraktor menerusi akaun miliknya.

Ia sebagai dorongan mencadangkan syarikat milik kontraktor berkenaan melakukan kerja-kerja pembersihan dan landskap di sebuah pangsapuri.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Johor Bahru antara 3 Mei 2017 sehingga 3 September 2019.

Kes didakwa mengikut Seksyen 16(a) Akta  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurmahirah Mohd Fauzi.

Manakala tertuduh diwakili peguam Datin Freda Sabapathy.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain passport diserah kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 29 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.