KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli daripada pertuduhan menggunakan kedudukan dalam mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM), lima tahun lepas.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Rozman, 59, di akhir kes pendakwaan.

"Tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri. Pasport tertuduh dan wang jaminan (RM100,000) dikembalikan," kata hakim itu.

Rozman didakwa atas pertuduhan sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA