Bekas ahli perniagaan mati ditembak

Bernama
Julai 12, 2022 13:12 MYT
Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring berlumuran darah berhampiran kenderaannya yang diletakkan di luar kawasan perumahan itu. - Gambar/ PDRM
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pemilik restoran mati ditembak di kawasan perumahan di Jalan Desa Kiara 1, dekat sini tengah malam semalam.
Mayat lelaki yang dikenali sebagai Goh Chok Chuan, 63, ditemukan dalam keadaan terbaring berlumuran darah berhampiran kenderaannya yang diletakkan di luar kawasan perumahan itu.
Saksi kejadian mendengar tiga das tembakan dilepaskan sebelum menemukan mayat bekas ahli perniagaan itu, kata Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Syukor dalam kenyataan hari ini.
"Polis menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 12.09 tengah malam. Punca kejadian masih disiasat," katanya.
Beliau berkata sebelum itu, lelaki berkenaan dikatakan bermain mahjung di rumah rakannya di Amarin Kiara dan dilapor ditembak berdekatan kenderaannya yang diletakkan berhampiran pondok pengawal di luar kawasan perumahan itu.
"Selesai bermain mahjung, mangsa keluar dan bergerak menuju ke keretanya yang diletakkan di luar kawasan kediaman itu," katanya.
Beliau berkata saksi di tempat kejadian juga mengatakan telah terlihat si mati melintas di hadapannya untuk ke tempat letak kereta sebelum mendengar tiga das tembakan.
Difahamkan mayat lelaki itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan polis masih menyiasat motif kejadian.
Amihizam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu untuk menghubungi talian Hotline Polis Brickfields iaitu 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-21159999) atau balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
#kes bunuh #Kes Tembak #desa kiara #ahli perniagaan