[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Bekas calon PN didakwa pamer Darjah Kebesaran Negeri Pahang palsu

Bernama 26/03/2025 | 08:00 MYT
Ong Chuan Jin membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Azah Kasran. - Foto Bernama
BUTTERWORTH: Bekas calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Jermal pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mempamerkan Darjah Kebesaran Negeri Pahang palsu, empat tahun lepas.

Ringkasan AI
  • Bekas calon PN, Ong Chuan Jin, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mempamerkan Darjah Kebesaran Negeri Pahang palsu.
  • Ong didakwa melakukan kesalahan tersebut di Jalan Raja Uda, Butterworth pada Mei 2022 dan boleh dikenakan denda atau penjara jika sabit kesalahan.
  • Mahkamah membenarkan Ong diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 29 April untuk sebutan semula kes.

Ong Chuan Jin, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Tertuduh yang juga pengerusi sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), didakwa mempamerkan gelaran Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang membawa gelaran Datuk di bahagian depan dan belakang kad nama sedangkan tiada sebarang darjah mahupun pingat dianugerahkan kepadanya.
Ong didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Jalan raja Uda, Butterworth pada Mei 2022.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 3(1)(d) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 (Enakmen No. 18 Tahun 2017) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan maksimum RM500,000 atau dipenjarakan tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin namun peguam Ong Chin Wen yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan dikurangkan kepada RM8,000 atas alasan tertuduh merupakan aktivis yang membuat kerja kebajikan menerusi NGO.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 29 April depan untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
#Bekas calon PN #Ong Chuan Jin #pamer gelaran darjah kebesaran palsu #PRN15 #terkini