PUTRAJAYA: Tiga individu termasuk seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat sebuah bank direman lima hari bermula Selasa kerana disyaki menerima rasuah lebih RM24 juta.

Mereka yang yang dikenakan perintah reman itu adalah seorang wanita berusia 50an yang merupakan bekas CEO,  lelaki berusia 58 tahun yang tidak bekerja dan perunding kewangan yang berusia 53 tahun.

Perintah reman dikeluarkan  Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor  selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini. 

Sebelum ini media melaporkan, ketiga-tiga individu itu ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya kira-kira 6 petang, Isnin ketika hadir memberi keterangan.

Penahanan itu dibuat selepas mereka disyaki menerima rasuah berjumlah lebih RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman dibuat oleh sebuah syarikat tempatan berjumlah lebih RM294 juta.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.