Bekas guru tahfiz mengaku tidak bersalah sebabkan kecederaan murid

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 29 September lalu, kira-kira jam 10 malam, di Asrama Maahad Tahfiz Muhammadiyah, Sungai Kob. - Astro AWANI
KULIM: Seorang bekas guru sekolah tahfiz didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang murid lelaki berusia 11 tahun, empat bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Abdullah Abu Bakar, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 29 September lalu, kira-kira jam 10 malam, di Asrama Maahad Tahfiz Muhammadiyah, Sungai Kob, di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, R. Jayasri, memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam dari firma Hisyam Yunus and Co. yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya telah diberhentikan kerja dan tidak mempunyai sumber pendapatan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan 3 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Tertuduh kemudiannya membayar wang jaminan di Kompleks Mahkamah di sini.
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan polis mengesahkan kejadian seorang pelajar tahfiz dirotan seorang lelaki yang tular di media sosial berlaku di sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob, Kulim, pada September lalu.
Kejadian pada 29 September itu melibatkan seorang murid lelaki berusia 11 tahun yang dipercayai dirotan oleh warden maahad tahfiz kerana didakwa mengganggu murid lain yang sedang belajar.
Ibu bapa murid terbabit yang menyedari kesan lebam pada tubuh anak mereka ketika mengambilnya kemudian membuat laporan polis pada 3 Oktober lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


