Bekas Imam Masjid Negara dinobat Tokoh Maal Hijrah

Astro Awani
Ogos 9, 2021 11:49 MYT
Muhyiddin, Ismail Sabri dan Zulkifli bersama Tokoh Maal Hijrah 1443H/2021MB Syaikh Ismail Muhammad (kiri) pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1443H/2021M di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin malam ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad hari ini dinobat Tokoh Maal Hijrah 1443H/2021M Kebangsaan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (Rabitah al-Islami) dan Penasihat Majlis Diraja Arab Saudi, Dr Muhammad Abdul-Kareem Al-Issa diumumkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa.
Dr Muhammad Abdul-Kareem Al-Issa dilahirkan pada 9 Jun 1965 di Riyadh, Arab Saudi juga merupakan Presiden Pertubuhan Halal Islam Antarabangsa dan Ahli Fakulti di Universiti Islam Imam Mohammed bin Saud
Syaikh Ismail pula dilahirkan di Kampung Padang Pulut, Dungun, Terengganu pada 2 Januari 1944 dan merupakan Hakim Tilawah al-Quran peringkat negeri dan kebangsaan sejak 1984 sehingga kini.
Mereka berdua menerima medal, wang tunai dan sijil penghargaan.
Pengumuman kedua-dua tokoh dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, hari ini.
Majlis turut dihadiri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
#Arab Saudi #Halal #Islam #Maal Hijrah #tokoh #imam #Syaikh Ismail Muhammad