ALOR SETAR: Seorang bekas inspektor polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM500 pada April 2015.

Mohamad Hilmi Abd Hamid, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa kepadanya.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Hilmi yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling dituduh secara rasuah memperoleh daripada seorang lelaki untuk dirinya sendiri satu suapan sebanyak RM500.

Ia sebagai dorongan membantu seorang lelaki lain yang didapati positif dadah jenis 'morphine' dalam ujian saringan awal menjalani hukuman pengawasan dan tidak dihantar ke pusat serenti.

Dia yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pulau Pinang didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kereta di hadapan kedai makan Cili Merah, Kampung Ceruk Bemban, Kupang di Baling, pada pukul 3.45 petang, 17 April 2015.

Mohamad Hilmi didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu sekiranya suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohamad Hilmi diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM Sungai Petani setiap dua bulan sekali.

Mahkamah menetapkan 22 Mei untuk sebut semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Zulfadli Azharudin manakala tertuduh diwakili Peguam S.Parameswaran.

-- BERNAMA