Seorang bekas pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tiga tuduhan pecah amanah melibatkan RM356,000 wang sumbangan pembinaan surau baharu pada tahun 2017 dan 2018.

Zulkifle Othman, 58, yang juga bekas Ketua Kampung Lambak, Cabang Lima dan Lubuk Salak tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan apabila kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim, S. Indera Nehru.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan curang mengeluarkan RM50,000 daripada RM350,000 wang sumbangan untuk membina surau baharu di Kampung Kubu, Tanjung Malim untuk kegunaan sendiri pada 21 Mac 2017.

Dia turut dituduh pada hari yang sama memindahkan RM200,000 wang sumbangan tersebut ke akaun bank milik Jati Gemilang Resources juga untuk kegunaan sendiri.

Bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa memindahkan RM106,000 ke akaun bank milik syarikat yang sama, untuk kegunaan sendiri pada 14 Mei 2018.

Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Bank Islam Malaysia Berhad, cawangan Tanjung Malim.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, dan dengan sebat, dan boleh juga dikenakan denda.

Hakim membenarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin untuk ketiga-tiga tuduhan dan menetapkan 19 Februari untuk tarikh pengurusan kes.

Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Teluk Intan pada minggu pertama setiap bulan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Hisham Nazir.