Seorang bekas kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM89,600 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah menerima rasuah dua tahun lepas.

Hakim Jamaluddin Mat menjatuhkan hukuman itu ke atas Fazrul En Hassan, 41, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, yang merupakan bekas penolong kanan pendaftar Pusat Pengajian Sains Asas (PPSA) universiti terbabit menjalani hukuman penjara selama setahun lagi jika gagal membayar denda.

Fazrul didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan daripada Syarikat Bari Bina Enterprise bagi kerja-kerja pembekalan 14 set kerusi dan meja simen berjumlah RM17,920.

Dia melakukan kesalahan itu di PPSA pada 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Hayat Muhamad.

-- BERNAMA