KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilantik sebagai Canselor Universiti Cyberjaya (UoC) berkuat kuasa 1 Okt lepas.

UoC dalam kenyataannya memaklumkan Dr Noor Hisham menggantikan Profesor Emeritus Tan Sri Anwar Ali yang telah bersama universiti itu sejak 2019.

"Pihak universiti berbesar hati menerima beliau memandangkan reputasi cemerlang beliau dalam bidang kesihatan dan perubatan serta pengurusan kesihatan, yang akan mencerminkan legasi universiti ini dalam penjagaan kesihatan dan perubatan dengan Sarjana Muda Perubatan, Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) dan Farmasi menjadi program pertama ditawarkan 18 tahun lepas.

"UoC yakin di bawah kapasiti beliau sebagai Canselor, Dr Noor Hisham bersama senat dan ahli lembaga pengarah universiti lain akan terus memberikan pendidikan berkualiti kepada generasi baharu pelajar yang ketika ini berdepan cabaran dalam ekonomi yang semakin bergerak pantas," menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Dr Noor Hisham berkata beliau berbesar hati dilantik menjadi Canselor UoC dan berhasrat menggunakan peranannya sebagai Canselor bagi meningkatkan lagi akses kesihatan dan kesaksamaan di rantau ini.

"Saya berbangga dapat berkongsi visi dan misi UoC. Lebih penting, saya percaya universiti ini mempunyai potensi besar di MaIaysia dan di luar untuk berusaha menjadi hab pendidikan penjagaan kesihatan terbaik di wilayah Pasifik Barat," katanya.

Dr Noor Hisham bersara sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada April lepas selepas 35 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Beliau ketika ini Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pencegahan, Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan (SCHEPPR) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva dan baru-baru dilantik ke Pejabat WHO Wilayah Pasifik Barat, Kumpulan Penasihat Teknikal (TAG) Perlindungan Kesihatan Sejagat (UHC).

-- BERNAMA