IPOH: Bekas Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Mohd Anuar Zakaria meninggal dunia di rumahnya di Pasir Pinji, di sini, pada Khamis malam.

Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 7.50 malam selepas mengadu sesak nafas.

Allahyarham baru sahaja dibenarkan keluar daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat komplikasi jantung.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di kampungnya di Kampung Pendiat, Padang Tenggala, Parit, pagi Jumaat.

Pemergian Allahyarham disahkan Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya pada Khamis.


Menurutnya, Mohd Anuar merupakan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak dan juga pemimpin PKR Cabang Gopeng.

"Sebagai pimpinan kanan dalam AMK negeri, saudara Anuar selalu memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada saya.

“Arwah juga memberi sokongan yang padu kepada saya semasa saya bertanding di DUN (Dewan Undangan Negeri) Teja, di dalam Parlimen Gopeng,” katanya.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Anuar, beliau menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada keluarga, sahabat dan perjuangan.

Mohd Anuar dilantik sebagai Naib Pengerusi PKR Perak di bawah pimpinan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Selain itu, Allahyarham juga pernah memegang jawatan Ketua PKR Cabang Parit.