Bekas Panglima Tentera Darat, dua isteri ditahan SPRM

Lelaki itu bersama dengan isteri-isterinya, ditahan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira 7 malam ini. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Seorang bekas Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) dan dua isterinya merupakan antara lima individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah tender perolehan TDM.
Lelaki itu bersama dengan isteri-isterinya, ditahan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira 7 malam ini, manakala sepasang suami isteri lain, turut ditahan berhubung siasatan kes berkenaan semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Bernama, mengesahkan penahanan kesemua mereka bagi membantu siasatan kes rasuah tender perolehan TDM.
"Esok, SPRM dijangka memohon reman bekas panglima dan dua isterinya. Pasangan suami isteri yang ditahan itu pula telah direman tujuh hari," katanya.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Panglima Tentera Darat telah diarah bercuti sehingga pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan berhubung dakwaan membabitkan beliau.
Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman, kemudian dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31, berkuat kuasa 1 Jan.
Pada 23 Dis, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka, serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
Semalam, SPRM menahan reman 17 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


