MALAYSIA
Bekas pegawai IT mengaku bersalah buat hantaran jelik di media sosial

Ariff Zulkarnain Ameer (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh. - Foto Sinar Harian
IPOH: Seorang bekas pegawai teknologi maklumat (IT) di sebuah syarikat media tempatan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat satu hantaran jelik di laman sosial dengan niat menyakitkan hati orang lain, Februari lepas.
Ringkasan AI
- Bekas pegawai IT mengaku bersalah atas hantaran jelik di Facebook, yang menyentuh titah Sultan Perak dan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- Tertuduh berdepan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara dua tahun, dan mahkamah menetapkan 30 Julai sebagai tarikh jatuh hukum, dengan jaminan RM10,000 serta syarat penyerahan pasport.
- Peguam memohon pengurangan jaminan atas faktor kewangan dan kehilangan pekerjaan, manakala pendakwa mencadangkan syarat tambahan termasuk laporan bulanan ke balai polis.
Tertuduh didakwa meninggalkan satu kenyataan di artikel bertajuk "Khatib enggan baca teks khutbah disediakan keterlaluan, jangan dibiarkan - Sultan Nazrin" yang dimuat siar di akaun Facebook Harian Metro di pautan https://www.facebook.com/share/1BZZzGje6L/?mibextid=wwXlfr .
Kesalahan itu didakwa dibaca di Kaunter Aduan Balai Polis Sentral Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini, pada 5.45 petang, 25 Feb lepas.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Jika sabit kesalahan, tertuduh juga boleh dikenakan denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Saravanan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi hukuman untuk memberi masa kepada anak guamnya mengumpul wang sekiranya dikenakan denda, memandangkan kesalahan tersebut melibatkan Sultan Perak.
Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani memaklumkan beliau tiada halangan terhadap permohonan itu, namun mencadangkan wang jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan agar tertuduh melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria turut mengendalikan pendakwaan itu.
Saravanan kemudian merayu supaya jaminan dikurangkan kerana tertuduh berusia 50 tahun, dan isterinya tidak bekerja serta tertuduh telah dibuang kerja oleh syarikat media berkenaan akibat perbuatannya itu, serta tidak mempunyai pendapatan tetap. Tertuduh turut berjanji akan mematuhi segala syarat dikenakan.
Mahkamah menetapkan 30 Julai sebagai tarikh jatuh hukum, selain memutuskan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sebelum 12 tengah hari, 20 Jun sehingga proses jatuh hukum selesai.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami