Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas pegawai khas politik Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Muhammad Zahid Md Arip telah diberi wang RM2 juta sebagai tanda terima kasih kerana menjadi penghubung dalam urusan penjualan Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Mohamad Jani Ismail, 58, pesara tentera berkata Muhammad Zahid memaklumkan perkara itu kepadanya sebelum bermulanya mesyuarat bersama pelabur dari Jepun di sebuah hotel di Putrajaya pada 8 Jun 2018.

"Sebelum pelabur dari Jepun itu tiba lebih kurang 10 malam, Muhammad Zahid ada menyatakan beliau mahu menghisap rokok di kawasan menghisap rokok. Jadi saya yang ditemani Encik Dahalan Tunggal yang turut menghadiri mesyuarat tersebut telah pergi menemani Muhammad Zahid.

"Semasa kami sedang menghisap rokok, saya bertanya kepada beliau (Muhammad Zahid), tentu saudara Zahid sudah banyak duit kerana telah dilantik jadi Setpol PM (ketika itu Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad).

"Muhammad Zahid kemudian membalas secara bersahaja dan menyatakan bahawa beliau ada sedikit duit apabila menjadi orang penghubung dalam urusan penjualan Hotel Merdeka Palace di Sarawak yang beliau telah diberikan sebanyak RM2 juta sebagai tanda terima kasih," katanya ketika membacakan penyataan saksi pada hari ketiga prosiding bela diri Mohd Isa yang menghadapi sembilan pertuduhan rasuah.

Bagaimanapun, saksi pembelaan keempat itu berkata Muhammad Zahid memberitahunya bahawa Mohd Isa tidak mengetahui berkenaan transaksi wang RM2 juta tersebut.

Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz sama ada beliau memaklumkan perkara itu kepada Mohd Isa, Mohamad Jani berkata “ada, selepas 8 Jun 2018”.

Afzainizam : Ketika itu Tan Sri Mohd Isa belum dituduh di mahkamah?

Mohamad Jani : Saya tidak tahu

Mohamad Jani yang merupakan bekas jurulatih tinju Malaysia sejak 1992 hingga 1998 berkata selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, Mohd Isa bagaimanapun tidak memintanya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Afzainizam : Saya katakan kepada kamu pengakuan ini (terima RM2 juta) tidak pernah dibuat oleh Muhammad Zahid.

Mohamad Jani: Tidak betul.

Afzainizam : Tentang pengakuan RM2 juta maklumat itu penting sepatutnya disalurkan kepada SPRM

Mohamad Jani: Tidak setuju.

Mohamad Jani turut tidak bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa beliau takut untuk memberi keterangan kepada SPRM.

Beliau juga menafikan cadangan pendakwaan bahawa tindakan beliau membuat akuan itu adalah untuk menyelamatkan Mohd Isa dan terhutang budi dengan Mohd Isa.

Afzainizam : Adakah kamu mewujudkan akuan ini (RM2 juta) semata-mata dengan niat untuk memburuk-burukkan Muhammad Zahid

Mohamad Jani : Tidak setuju.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa mengapa beliau tidak membuat laporan polis sedangkan saksi itu mengetahui Muhammad Zahid menerima wang RM2 juta, Mohamad Jani berkata "saya klasifikasikan ini duit ucapan terima kasih sebagai orang perantaraan dan dia mengaku terima RM2 juta”.

Mohamad Jani juga berkata beliau tidak mengetahui sama ada wang itu rasuah atau tidak.

Mohd Isa berdepan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada Ahli Lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel menerusi Muhammad Zahid, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pihak pembelaan hari ini menutup kesnya selepas memanggil enam saksi dan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 4 Nov untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak.

-- BERNAMA