Polis mengesahkan terdapat laporan dibuat berkenaan kehilangan Timbalan Pendakwaraya, Kevin Anthony Morais dari Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R.Munusamy berkata laporan polis dibuat oleh ahli keluarga mangsa setelah cubaan menghubungi Kevin gagal.

"Ya, laporan telah dibuat dan kita sedang melakukan siasatan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Kevin sebelum ini berkhidmat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai Timbalan Pengarah Pendakwaan.

Difahamkan kali terakhir dia dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta untuk keluar bekerja pada pagi Jumaat lalu.

Sementara itu, menurut portal berita The Rakyat Post yang memetik sumber berkata pemeriksaan di pejabatnya mendapati beliau gagal hadir ke tempat kerja pada Jumaat.

Rakan beliau kemudian dikatakan menghubungi abang sepupunya, Datuk Richard Morais, yang kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang pada jam 6 petang Sabtu.

Portal itu turut menyatakan bahawa Kevin kembali ke Jabatan Peguam Negara selepas menyelesaikan tugas di SPRM.

Difahamkan, Kevin kali terakhir menggunakan kenderaan rasmi kerajaan dengan nombor pendaftaran WA 6264 Q.