MELAKA: Bekas pelumba basikal Forca Amskins Racing Mohamed Hafiz Abdul Hamid menjuarai kategori Elit lelaki edisi ketiga kejohanan berbasikal L'Etape Malaysia 2024 di sini hari ini.

Mohamed Hafiz, 32, dalam penampilan kedua pada kejohanan berbasikal amatur terbesar negara itu melengkapkan kayuhan sejauh 140 kilometer (km) di sekitar kawasan Melaka dengan catatan 3 jam 20 minit 31.56 saat (s) untuk merangkul gelaran juara.

"Alhamdulillah bersyukur dengan keputusan ini walaupun laluan agak mencabar. Saya tak sasar untuk menang kategori ini dan hanya fokus untuk menjaga pasukan namun kebetulan berjaya terlepas daripada kelompok hadapan jadi saya teruskan ke garisan penamat," katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.

Matthew Brittain mewakili Singapura di tempat kedua dengan catatan 3:20:31.57s diikuti Thomas Tong juga dari Singapura 3:22:28.00s ketiga.

Bagi kategori wanita pula, juara kategori Elit edisi 2023 Alicia Brittain mewakili Singapura mempertahankan gelaran sama selepas menamatkan kayuhan dengan catatan 3:23:27.41s.

"Apabila mendapat tempat pertama dan melakukannya pada perlumbaan berikutnya, anda sentiasa meletakkan jangkaan dan tekanan.

"Semua orang fikir akan berjaya tetapi setiap perlumbaan adalah baharu yang perlu bermula dari sifar dan objektif utama saya adalah untuk kekal selamat dan saya gembira kerja kerasa membuahkan hasil," katanya.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi peserta Malaysia Amelie Tan (3:47:05.93s) dan peserta Singapura Rita Loh (4:00:43.35s).

Sebanyak 3,358 peserta menyertai edisi ketiga L'Etape Malaysia oleh Tour de France itu, melibatkan dua jarak kayuhan 140km dan 70km.

Lima kategori dipertandingkan membabitkan kategori lelaki dan wanita.

-- BERNAMA