MALAYSIA

Bekas pemandu bas didakwa memandu bawah pengaruh dadah sebabkan kematian pelancong Jepun

Abd Razak Mohd Ali 21/10/2025 | 05:20 MYT
Hadzarshah Abu Hassan Al Sha'ari dibawa ke Mahkamah Sesyen Taiping hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
TAIPING: Seorang bekas pemandu bas persiaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang pelancong wanita warga Jepun, tahun lalu.


Ringkasan AI
  • Seorang bekas pemandu bas persiaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian pelancong wanita warga Jepun, Michiyo Saito, dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan pada 24 Oktober 2024.
  • Tertuduh, Hadzarshah Abu Hassan Al Shaari, 42, didakwa di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan. Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin serta menggantung lesen memandu tertuduh.
  • Timbalan Pendakwa Raya tidak mencadangkan jaminan atas alasan tertuduh gagal hadir sebelum ini dan kes mendapat perhatian kerajaan Jepun, manakala peguam YBGK memohon jaminan minimum atas faktor kewangan dan tanggungan keluarga. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Disember depan.


Hadzarshah Abu Hassan Al Sha'ari, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.

Mengikut pertuduhan, dia yang kini bekerja sebagai pemandu lori didakwa telah memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan tidak berdaya mengawal kenderaan sepatutnya sehingga menyebabkan kematian penumpang bas, Michiyo Saito.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 230.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah Larut Matang dan Selama pada pukul 1.30 petang, 24 Oktober 2024.

Dia didakwa di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nazura Azman tidak mencadangkan jaminan kerana tertuduh sebelum ini gagal hadir ke mahkamah selain tidak memberi kerjasama kepada polis.

Menurutnya, kes itu turut mendapat perhatian Kerajaan Jepun memandangkan ia melibatkan kematian warga negara tersebut, selain kebimbangan tertuduh akan melarikan diri.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ahmad Mukmin Aimi Azmi yang mewakili tertuduh memohon jaminan yang minimum kerana lelaki itu tidak mempunyai pendapatan tetap serta perlu menanggung isteri dan lima anak yang masih bersekolah.

Katanya, kegagalan lelaki itu hadir pada prosiding pendakwaan kes berkenaan pada Mei lalu disebabkan masalah kesihatan akibat kemalangan yang dialaminya.

Menurutnya, tertuduh juga terbuka dengan syarat tambahan yang akan dikenakan ke atasnya dan memohon nilai jaminan yang sesuai dengan kemampuan lelaki itu dan isterinya yang bekerja sebagai tukang cuci

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin, iaitu seorang ahli keluarga terdekat dan seorang lagi yang menetap di Perak selain memerintahkan agar lesen memandu tertuduh digantung bermula hari ini sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan agar pasport lelaki terbabit diserahkan kepada mahkamah untuk simpanan dan melapor diri pada setiap awal bulan sehingga kes tersebut selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Disember depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.




#pemandu bas #pelancong Jepun #pengaruh dadah #Michiyo Saito