Bekas pemimpin DAP, Zulkifli Mohd Noor meninggal dunia

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 28, 2019 05:08 MYT
Allahyarham Zulkifli adalah satu-satunya ahli DAP berbangsa Melayu yang dipilih perwakilan sebagai Naib Pengerusi parti itu. - BERNAMA
Bekas pemimpin Melayu di dalam DAP yang juga antara pengasas parti itu, Zulkifli Mohd Noor, meninggal dunia pagi tadi akibat masalah jantung.
Beliau berusia 71 tahun.
Allahyarham menghembus nafas terakhir pada pukul 1 pagi ketika sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Sungai Petani, Kedah selepas dimasukkan ke hospital semalam.
Zulkifli antara tokoh Melayu terkenal di dalam DAP dan pernah memegang jawatan Naib Presiden Kebangsaan DAP.
Bagaimanapun, beliau bertindak keluar parti itu selepas 26 tahun menjadi ahli DAP berikutan kecewa dengan pemilihan parti tersebut pada 2013 yang disifatkannya penuh kontroversi.
Setahun kemudian, Zulkifli bersama seorang lagi bekas ahli DAP, Rahmad Isahak menubuhkan Parti Alternatif Rakyat (PAP).
Namun, beliau yang memegang jawatan Presiden bersama Rahmad bertindak keluar daripada PAP pada Februari lalu akibat krisis dalaman parti tersebut sebelum Zulkifli mengambil keputusan bersara dalam politik.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Taman Sahabat, Jalan Gertak Sanggul, Bayan Lepas dan dikebumikan hari ini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak – dua lelaki dan seorang perempuan.
#Parti Alternatif Rakyat #pengasas DAP #Zulkifli Mohd Noor