[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Bekas pengarah kewangan PBT direman, guna dana RM50 juta buat pelaburan saham

Shuhada Abdul Kadir 17/06/2025 | 05:20 MYT
Bekas pengarah sebuah jabatan kewangan PBT di Melaka direman tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan penggunaan dana jabatan itu berjumlah RM50 juta. - Foto Astro AWANI
MELAKA: Seorang bekas pengarah sebuah jabatan kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini berhubung dakwaan penggunaan dana jabatan itu berjumlah RM50 juta.

Ringkasan AI
  • Bekas pengarah kewangan PBT Melaka direman tujuh hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan menyalahgunakan dana awam dan amanah berjumlah RM50 juta untuk pelaburan saham.
  • Suspek disyaki melantik isterinya sebagai ejen pelaburan, dan dipercayai menjalankan aktiviti tersebut antara tahun 2020 hingga 2023 tanpa kelulusan pegawai pengawal kewangan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, yang melibatkan penyalahgunaan kuasa oleh penjawat awam untuk kepentingan peribadi.

Penahanan suspek berusia 57 tahun itu dikeluarkan Majistret N.Sivashangari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan khas (SPV) agensi penguatkuasaan itu sebelum dibawa keluar sejam kemudian.
Semalam media melaporkan, suspek sebagai bekas pengarah kewangan sebuah PBT ditahan selepas disyaki menyalahgunakan kuasanya dengan menggunakan dana PBT itu berjumlah RM50 juta untuk membuat pelaburan saham.
Sumber memaklumkan suspek ditahan kira-kira jam 1 tengah hari Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.
Difahamkan, suspek disyaki melakukan perbuatan itu dari 2020 hingga 2023 dengan melantik isterinya yang bekerja di sebuah bank, sebagai ejen pelaburan bagi pelaburan saham berjumlah kira-kira RM50 juta.
Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan dana wang awam dan juga wang amanah itu tanpa kelulusan pegawai pengawal kewangan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
#bekas pengarah jabatan kewangan #direman #SPRM #labur dana PBT