MALAYSIA
Bekas Pengarah Maritim terima rasuah RM10,000 dipenjara 20 bulan

Mohd Zulfadli dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Sesyen di Johor Bahru pada Jumaat.
JOHOR BAHRU: Bekas Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, Mohd Zulfadli Nayan, dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas didapati bersalah menerima suapan wang tunai RM10,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap sebuah kapal yang sedang disiasat, lima tahun lalu.
Ringkasan AI
- Bekas Pengarah Maritim Malaysia Zon Tanjung Sedili, Mohd Zulfadli Nayan, dijatuhi hukuman penjara 20 bulan selepas didapati bersalah menerima suapan RM10,000 untuk tidak mengambil tindakan terhadap sebuah kapal yang sedang disiasat pada tahun 2020.
- Mahkamah menolak rayuan untuk menangguhkan hukuman dan memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, manakala rayuan pihak pembelaan untuk hukuman denda ditolak.
- Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dan sepanjang perbicaraan, 16 saksi pendakwaan serta 4 saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan.
Peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly memohon agar hukuman dikenakan dalam bentuk denda atas alasan anak guamnya menyara empat anak berusia tiga hingga 11 tahun dan kini bekerja sebagai pemandu e-hailing serta melakukan kerja pendawaian elektrik dengan pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa tertuduh menghidap penyakit gout, migrain kronik, dan gastrik.
Namun begitu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Wai Keong, memohon hukuman penjara yang setimpal sebagai mesej jelas bahawa rasuah tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi melibatkan pegawai kanan kerajaan.
“Sebagai pegawai kanan persekutuan, tertuduh sepatutnya memastikan undang-undang dikuatkuasakan. Sebaliknya, beliau menerima RM10,000 daripada ejen kapal. Ini mencemarkan imej Maritim Malaysia,” katanya.
Permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara rayuan difailkan juga ditolak oleh mahkamah.
Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan pada 23 Mei 2021.
Beliau didakwa menerima suapan daripada pemilik syarikat perkapalan, Wan Mohd Fauzi Wan Kamaruddin, di sebuah restoran di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru pada 2 Oktober 2020, sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan ke atas kapal MT Singa Gangsa milik Alamgala Resources Sdn Bhd yang ditahan oleh KM Mulia pada 17 September 2020.
Kesalahan ini didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Pada 18 Disember 2024, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri selepas pihak pendakwaan membuktikan prima facie terhadapnya.
Sepanjang perbicaraan, 16 saksi pendakwaan dipanggil manakala empat saksi pembelaan tampil memberi keterangan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami