Bekas pengarah penguat kuasa dipercayai terima rasuah bulanan ditahan

Adie Sufian Zulkefli
Januari 24, 2022 09:38 MYT
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 2 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan. - Gambar/ SPRM
ALOR SETAR: Bekas pengarah penguat kuasa sebuah agensi kerajaan direman tujuh hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah secara bulanan daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan tender kontrak kerja pembersihan bernilai RM3.1 juta di utara tanah air.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nadia Othman bermula hari ini sehingga 30 Januari selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 2 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.
Tertuduh dipercayai meminta dan menerima rasuah itu dari Julai 2019 sehingga Mac 2021 daripada syarikat kontraktor untuk membantu mendapatkan tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
#SPRM #Kedah #bekas pengarah penguat kuasa #rasuah bulanan