TELUK INTAN: Seorang bekas pengawal keselamatan dituduh di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan Tahun Satu, bulan lepas.

Tertuduh, Mohd Ridzwan Mahmud @ Mahamood, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan cara meraba dan memegang bahagian kemaluan mangsa berusia tujuh tahun lima bulan itu, di hadapan kelas sebuah sekolah rendah dalam daerah Hilir Perak, di sini, jam 6.45 pagi, 31 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya R Rishan Kumar mencadangkan tertuduh ditawarkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa.

Peguam tertuduh, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi bagaimanapun memohon agar mahkamah menawarkan jaminan rendah kerana anak guamnya merupakan orang kurang upaya kategori lembab, selain meminta lelaki itu dirujuk kepada pakar psikiatri.

Di samping itu, katanya, tertuduh baru dipecat daripada pekerjaannya dan hanya tinggal berdua bersama ibunya yang uzur berusia 78 tahun.

Mahkamah kemudiaan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu atau mendekati mangsa.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menjalani pemeriksaan mental.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan laporan psikiatri.

Terdahulu, media melaporkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dimaklumkan bahawa suspek mencabul kehormatan mangsa di kawasan sekolah rendah di sini, 31 Januari lalu.

Susulan itu, polis menahan suspek terbabit pada jam 11 pagi hari sama.

Hasil siasatan awal polis, mangsa mendakwa suspek sudah beberapa kali mengulangi perbuatan itu terhadapnya sebelum ini.