Bekas Pengerusi Eksekutif TNB, Tan Sri Ani Arope meninggal dunia

Astro Awani
Disember 20, 2014 05:21 MYT
Allahyarham dikatakan menghidap barah prostat sejak lebih dua tahun lalu. - Foto Facebook Ani Arope
Bekas Pengerusi Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Ani Arope, dilaporkan meninggal dunia pagi tadi akibat barah.
Menurut laporan Berita Harian Online, Allahyarham meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), kira-kira jam 5.26 pagi.
Allahyarham, 82, dikatakan menghidap barah prostat sejak lebih dua tahun lalu.
Menurut laporan itu lagi, jenazah Allahyarham dibawa ke Balai Islam (TNB) Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, jam 9 pagi bagi membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir.
Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Shah Alam.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
"Takziah kepada keluarga TS Ani Arope yang pulang ke rahmatullah pagi tadi. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah," katanya menerusi laman Twitter beliau.
Dilahirkan pada 17 Mei 1932 di Sungai Bakap, Seberang Prai, Pulau Pinang, Allahyarham meninggalkan seorang isteri Puan Sri Saenah Ahmad dan tiga anak selain anak angkat.
Allahyarham merupakan pengerusi eksekutif TNB dari 1992 hingga 1996 selain pernah menerajui beberapa syarikat swasta, institusi pengajian tinggi dan pelbagai organisasi.
#barah prostat #meninggal dunia #Tan Sri Ani Arope #TNB