ALOR SETAR: Bekas pengerusi sebuah koperasi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua tuduhan rasuah dan satu pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan projek bernilai RM9.7 juta pada 2016 dan 2017.

Mazlan Hashim, 65, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan 10 peratus daripada nilai projek berjumlah RM9.7 juta iaitu RM970,000 daripada Pengarah Smart SL Technology Sdn Bhd sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan tender Cadangan Merekabentuk, Membekal, Membina, Mengujiterima dan Mentauliah 1MWp Solar Farm and Green House di atas sebahagian Lot 3375 Mukim Padang Kerbau, Sungai Tiang, Pendang, daripada Myangkasa Services Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Nombor 4 Tingkat 1, Susuran Sosenati, Pusat Perniagaan Sosenati di sini pada Nov 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Mazlan dituduh menerima rasuah RM274,608 daripada pengarah syarikat yang sama untuk tujuan sama di Affin Islamic Bank Berhad Cawangan Alor Setar di sini pada 19 Jan 2017.

Mazlan dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Bagi kes pengubahan wang haram, Mazlan sebagai Pengerusi Koperasi Pembangunan Darulaman Kedah Berhad didakwa telah memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM265,000 daripada akaun koperasi ke akaun peribadi (nama sendiri), pada 19 Jan 2017 di Affin Islamic Bank Berhad Cawangan Alor Setar di sini.

Warga emas itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), yang boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Ezlin Yusop Khan Maziah Mohaidee, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Zaharudeen Harun.

Selepas pengakuan, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa tertuduh turut berhadapan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor dan memohon supaya kes terbabit dipindahkan dan dibicarakan secara bersama di sana.

Farah Ezlin memberitahu Mahkamah Sesyen Shah Alam juga telah menetapkan supaya tertuduh diikat jamin RM30,000 oleh seorang penjamin, menyerahkan pasport dan perlu melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam pada hari pertama bekerja setiap bulan.

Pihak pendakwaan juga mencadangkan supaya ikat jamin dan syarat sama digunakan dalam pertuduhan hari ini, Rohatul Akmar kemudian membenarkan permohonan berkenaan.

-- BERNAMA