KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan kedudukan untuk melindungi daripada diambil tindakan dan tidak mengisytiharkan kepentingannya sebagai pengarah dalam sebuah institusi kewangan Labuan, dua tahun lepas.

Datuk Azizan Abd Rahman, 67, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di Pejabat LFSA, Mercu UEM, KL Sentral di sini pada 17 Nov 2020.

Bagi tuduhan pertama, Azizan didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu perlindungan daripada apa-apa tindakan boleh diambil oleh LFSA ke atas syarikat Kensington Trust Labuan Limited yang beliau adalah pengarah dan pegawai amanah di syarikat itu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pihak-pihak bersetuju supaya tertuduh diberikan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan pendakwaan memohon pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Shamsul Sulaiman yang mewakili Azizan mengesahkan wang jaminan itu namun memohon supaya pasport anak guamnya tidak ditahan memandangkan beliau tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

Hakim Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan disenaraihitamkan ke luar negara melainkan dengan keizinan mahkamah sehingga pelupusan kes serta menetapkan 5 April untuk sebutan semula kes.

Di hadapan Hakim Azura Alwi pula, Azizan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak mengisytiharkan kepentingannya sebagai pengarah dan pegawai amanah di Kensington Trust Labuan Limited, sebuah institusi kewangan Labuan kepada Lembaga itu semasa mempengerusikan mesyuarat Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan Ke-131 seperti dikehendaki Seksyen 17(1) Akta Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan 1996 (Akta 545).

Beliau didakwa mengikut Seksyen 17(8) Akta Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan 1996 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ahmad Akram memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen sebelumnya untuk dibicarakan bersama pertuduhan terdahulu selain mengguna pakai wang jaminan sama iaitu RM50,000. Tiada bantahan daripada pihak pembelaan.

Mahkamah membenarkan kes yang dihadapi tertuduh dipindahkan untuk didengar di hadapan Rozina.

-- BERNAMA