MALAYSIA

Bekas pengetua tidak tahu wujud pernyataan bertulis lima orang pelajar

Bernama 21/01/2026 | 15:45 MYT
Saksi ke-47 yang dipanggil semula untuk memberi keterangan hari ini berkata dia hanya mengetahui tentang pernyataan bertulis lima saksi pelajar itu selepas ia diserahkan kepada polis. - Gambar fail/Sinar Harian
KOTA KINABALU: Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Shaharom Hashim memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa dia tidak tahu mengenai kewujudan pernyataan bertulis saksi lima pelajar berkaitan kematian Zara Qairina Mahathir.


Ringkasan AI
  • Shaharom Hashim, bekas Pengetua SMK Agama Tun Datu Mustapha, tidak tahu mengenai pernyataan bertulis saksi pelajar berkaitan kematian Zara Qairina Mahathir, hanya mengetahui selepas diserahkan kepada polis.
  • Laporan pertama mengenai Zara Qairina jatuh di asrama dan laporan kedua kronologi kejadian itu diterima oleh Shaharom, namun tiada menteri atau timbalan menteri turun melawat sekolah selepas kejadian tersebut.
  • Sehelai kertas berisi ayat berkaitan Zara Qairina ditemui sebelum kematiannya di asrama, diserahkan kepada polis untuk siasatan, dan inkues yang diarahkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) berlanjutan esok.


Saksi ke-47 yang dipanggil semula untuk memberi keterangan hari ini berkata dia hanya mengetahui tentang pernyataan bertulis lima saksi pelajar itu selepas ia diserahkan kepada polis.

"Saya cuma mengetahui ada pernyataan saksi pelajar pada 16 dan 17 Julai, setelah pernyataan itu diserahkan kepada pihak polis," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini.

Menjawab soalan Peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, mengenai dua laporan yang dibuat pihak sekolah berhubung kejadian itu, Shaharom berkata laporan pertama mengenai Zara Qairina jatuh di asrama manakala laporan kedua kronologi kejadian itu.

Saksi itu berkata laporan pertama diterimanya pada pagi 16 Julai untuk diberikan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar pada 10.04 pagi dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), manakala laporan kedua diterimanya daripada Setiausaha Hal Ehwal Murid pada 12 Ogos 2025.

Ketika disoal Koroner jika ada menteri atau timbalan menteri bertanggungjawab turun melawat sekolah selepas kejadian itu, Shaharom berkata setakat pengetahuannya tidak ada.

Bagaimanapun saksi itu berkata terdapat wakil daripada pihak Kementerian Pendidikan dan Bahagian Pendidikan Islam dan kaunselor datang untuk memberi kaunseling.

Sementara itu, saksi kelapan iaitu Ketua Warden Asrama Azhari Abd Sagap, 31, yang turut dipanggil semula memaklumkan sehelai kertas telah ditemukan seorang daripada pelajar asrama itu sebelum kejadian.

Azhari berkata kertas yang tertulis ayat berkaitan Zara Qairina itu ditemukan di pagar koridor, aras tiga bangunan asrama semasa aktiviti gotong-royong dan diserahkan kepada polis untuk siasatan pada 21 Julai 2025.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai tahun lepas, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, di Papar pada kira-kira 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos lepas telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

Prosiding inkues bersambung esok.

-- BERNAMA

#bedah siasat #Jabatan Peguam Negara #meninggal dunia #asrama sekolah