MALAYSIA

Bekas pengurus kanan syarikat multinasional didakwa terima, lupus wang lebih RM1.4 juta

Bernama 23/01/2026 | 07:30 MYT
NV Vemal dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - Gambar/ Sinar Harian
IPOH: Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat multinasional hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan menerima dan melupuskan wang berjumlah lebih RM1.4 juta milik syarikat Indonesia, tiga tahun lepas.

Bagaimanapun, NV Vemal, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa secara tidak jujur menerima harta curi dalam akaun Maybank miliknya iaitu wang tunai berjumlah RM1,479,289.94 juta kepunyaan PT Parit Sembada, anak syarikat Kuala Lumpur Kepong Berhad, meskipun mengetahui wang itu adalah harta curi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Vemal didakwa secara tidak jujur melupuskan wang tunai sebanyak RM1,082,005 dengan mengalihkannya daripada akaun Maybank atas nama tertuduh ke akaun sebuah syarikat sedangkan dia mengetahui wang itu milik PT Parit Sembada.

Dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Vemal didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di sebuah cawangan Maybank di Jalan Sultan Idris Shah di sini pada 29 Sept 2023.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulqarnain Wan Asmira menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan beserta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah kerana sebelum ini, dia dikesan berada di Indonesia.

Peguam Gurbachan Singh dan Aashwini Rajan, yang mewakili tertuduh, memaklumkan bahawa anak guam mereka kini tidak bekerja serta tidak mempunyai pendapatan namun tidak membantah jumlah jaminan yang dicadangkan selain bersedia menyerahkan pasport.

Mahkamah membenarkan Vemal diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan, dan menetapkan 19 Mac ini sebutan semula kes.

-- BERNAMA


#kes pengubahan wang haram #kes lupus wang #NV Vemal #Syarikat multinasional