MALAYSIA

Bekas pengurus rugi RM241,000 akibat penipuan 'phone scam'

Bernama 14/12/2025 | 02:15 MYT
Mangsa diberitahu waran tangkap telah dikeluarkan atas namanya dan diarahkan memindahkan semua wang miliknya ke akaun yang diberikan. - Gambar hiasan
KLUANG: Seorang bekas pengurus sebuah syarikat kerugian RM241,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan 'phone scam' yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata mangsa berusia 47 tahun itu membuat laporan polis semalam selepas menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada 6 Nov lepas.

Beliau berkata mangsa kemudiannya dimaklumkan bahawa nombor telefon miliknya disalahgunakan sebelum panggilan disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

"Mangsa turut diberitahu waran tangkap telah dikeluarkan atas namanya dan diarahkan memindahkan semua wang miliknya ke akaun yang diberikan.

"Antara 18 hingga 27 Nov, mangsa membuat pemindahan wang ke tujuh akaun berbeza sebelum menyedari telah ditipu dan tampil membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA





#bekas pengurus #phone scam #waran tangkap #sindiket penipuan