MALAYSIA
Bekas pengurus universiti swasta didenda RM35,000, mengaku guna dokumen palsu perjanjian ambilan pelajar

Mohd Khalid mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan perjanjian pengambilan pelajar yang melibatkan dua buah syarikat swasta, enam tahun lalu. - Foto Astro AWANI
IPOH: Seorang bekas Pengurus Bahagian Kemasukan Pelajar, Pemasaran dan Rekod sebuah universiti swasta di Perak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan perjanjian pengambilan pelajar yang melibatkan dua buah syarikat swasta, enam tahun lalu.
Tertuduh Mohd Khalid Ka'ab, 42 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM35,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu perjanjian merekrut pelajar antara dua buah syarikat bertarikh 1 Ogos 2019 sebagai ejen untuk memberi perkhidmatan mempromosikan program universiti berkenaan dari Wilayah Persekutuan, Selangor dan lokasi lain bagi kemasukan pelajar, yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Pendaftar universiti berkenaan di Seri Iskandar, dalam Daerah Perak Tengah pada bulan Jun 2019.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menggunakan dokumen perjanjian berkenaan untuk menyokong bayaran atas nama sebuah syarikat ejen program kemasukan pelajar ke universiti berkenaan yang tidak pernah dilaksanakan, berjumlah RM323,650.
Pada 15 September 2021, satu aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dibuka dan hasil siasatan mendapati tertuduh telah memalsukan dokumen perjanjian berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor dan Pegawai Pendakwa Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Izwan Abd Rahman.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami