KUALA LUMPUR: Bekas pengurusan kanan bank BSI mendedahkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pihak bank tidak pernah melakukan semakan untuk mengesahkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, bertindak bagi pihak Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan hal ehwal SRC International Sdn Bhd.

Bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura), Kevin Michael Swampillai, 64, bersetuju dengan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, bahawa sekiranya semakan ringkas dilakukan, pasti dapat menghalang berjuta-juta dolar daripada SRC International ke dalam akaun SRC International (Malaysia) Limited (SRC BVI) di BSI.

Menjawab soalan Muhammad Shafee, Swampillai mengakui bahawa beliau sedar Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low, telah membuat representasi yang beliau mewakili SRC International atas arahan Najib, walaupun beliau (Jho Low) tidak mempunyai dokumen untuk menyokongnya.

Muhammad Shafee: Menyebut nama orang-orang terkenal sudah menjadi satu kebiasaan di Malaysia, saya tidak pasti bagaimana keadaan di Singapura. Di sini kami sebut "jual nama".

Swampillai: Ya saya menyedarinya.

Muhammad Shafee: Anda tahu Jho Low mempunyai tabiat untuk jual nama. Anda mengakuinya dalam pernyataan saksi anda sebelum ini. Malangnya tiada sesiapa, malah tidak ada seorang pun pegawai bank (BSI) telah memastikan sama ada kerajaan Malaysia menyedari apa yang berlaku dalam SRC? Tiada sesiapa yang membuat semakan sama ada (Jho Low) benar-benar mewakili SRC?

Swampillai: Sekiranya soalan anda, sama ada sesiapa dari BSI membuat semakan dengan (bekas) perdana menteri, tiada.

Muhammad Shafee: Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa semakan ringkas boleh menghalang transaksi ini daripada pergi lebih jauh?

Swampillai: Ya.

Swampillai memberi keterangan sebagai saksi pertama dalam pendengaran saman sivil US$1.18 bilion SRC International terhadap Najib di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Turut dinamakan sebagai defendan dalam saman itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.

SRC, di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.

Syarikat itu memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami sebanyak RM42 juta.

Najib, 70, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International. Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Perbicaraan bersambung pada Isnin (11 Mac).

-- BERNAMA