Skip to main content

Malaysia

Bekas penjawat awam disyaki kemuka dokumen palsu tuntut bantuan kewangan RM300,000 direman

SPRM kredit: SPRM
Perintah reman terhadap lelaki berusia 30-an itu dikeluarkan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada Selasa. - Foto SPRM
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang bekas penjawat awam direman selama empat hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan bantuan kewangan berjumlah kira-kira RM300,000.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 30-an itu dikeluarkan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada Selasa. 

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 6 petang pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2020 hingga 2025 ketika masih berkhidmat sebagai penjawat awam.

"Suspek disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu di tempatnya bekerja bagi mendapatkan kelulusan di bawah satu program bantuan kewangan," katanya di sini pada Selasa. 

Selain itu, kata sumber, suspek turut dipercayai menggunakan maklumat 11 individu tanpa pengetahuan mereka untuk membuat permohonan bantuan berkenaan.

Wang bantuan berjumlah RM500 hingga RM1,000 sebulan yang diluluskan itu kemudian dipercayai dimasukkan ke dalam akaun peribadi suspek.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohammad Zakkuan Talib, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu.

Must Watch Video

Advertisement