Bekas personaliti TV, Ishak Nengah meninggal dunia

Astro Awani
Ogos 6, 2018 05:14 MYT
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Aishah Ali dan tiga orang anak, Johan (Joe Flizzow), 38 tahun, Ashraf, 35 tahun, dan Iman, 28 tahun. - Gambar Astro AWANI
Bekas personaliti televisyen, Ishak Nengah meninggal dunia selepas bertarung dengan barah hidung atau nasopharyngeal carcinoma (NPC) sejak lima tahun lalu, di Hospital Universiti, Petaling Jaya sekitar jam 12.35 tengah hari tadi.
Menurut adik ipar Allahyarham, Saleha Ali ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi, Ishak, 65 tahun, dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Universiti sekitar jam 3 pagi tadi selepas mengalami kesukaran bernafas.
"Allahyarham menghidap barah (tahap empat) dan barahnya sudah mula merebak termasuk ke tulangnya," kata Saleha.
Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Darul Ehsan di Subang Jaya, Selangor dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan USJ22, Subang Jaya sekitar jam 6 petang tadi.
Dilahirkan di Bota Kanan, Perak, Allahyarham Ishak pernah berkhidmat sebagai wartawan di akhbar kumpulan The New Straits Times Press dari tahun 1972 hingga 1977 sebelum menjadi pengacara di syarikat penyiaran swasta TV3 tidak lama selepas itu.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Aishah Ali dan tiga orang anak, Johan (Joe Flizzow), 38 tahun, Ashraf, 35 tahun, dan Iman, 28 tahun.
#Aishah Ali #Ishak Nengah #kanser #kanser hidung #meninggal dunia #New Straits Times Press #Pengacara #selebriti