BATU PAHAT: Seorang bekas posmen dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang ibu tunggal, Mila Sharmila Samsusah atau Bella, bulan lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, 25, yang hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa membunuh mangsa yang ketika kejadian berusia 32 tahun.

Tertuduh, dipercayai teman lelaki mangsa, didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 11 malam pada 14 Disember tahun lalu, hingga jam 5.30 pagi hari berikutnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga, hingga ke sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah di Batu Pahat.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid dan tertuduh pula, diwakili peguam Syahril Anuar.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan bedah siasat.

Tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh sementara menunggu tarikh sebutan.