MALAYSIA

Bekas Presiden PKAVM perlu RM9,000 sebulan untuk rawatan kanser hati

Astro Awani 11/01/2026 | 05:00 MYT
Tommie, yang pernah menerajui PKAVM selama dua tahun, berkata, dia reda selepas doktor memaklumkan menghidap barah. - Gambar/ Nani Zarina Tumiran
KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Datuk Tommie Tumiran yang baru-baru ini disahkan menghidap kanser hati memerlukan kira-kira RM9,000 sebulan bagi pembelian ubat merawat penyakitnya.

Tommie, yang pernah menerajui PKAVM selama dua tahun, ketika dihubungi Astro AWANI berkata, dia reda selepas doktor memaklumkan menghidap barah.

"Saya hanya berserah, ini adalah takdir Allah S.W.T," katanya.

Tommie berkata, dia memutuskan tidak menjalani rawatan melalui kaedah kimoterapi disebabkan faktor usia, sebaliknya memilih pengambilan ubat secara oral.

“Saya disahkan kanser hati sekitar empat bulan lalu. Pada mulanya saya mengalami sakit perut yang berpanjangan lalu saya pun membuat pemeriksaan.

“Doktor menyangka saya mengalami masalah batu hempedu dan bila dibuat pemeriksaan sekali lagi, rupaya bukan.

“Doktor berikan saya dua pilihan sama ada nak jalani rawatan melalui kaedah kimoterapi atau makan ubat... tetapi atas faktör usia saya pilih makan ubat.

Tommie, 73, bagaimanapun kesal apabila tiada langsung rakan-rakan mahupun persatuan yang bertanya khabar meskipun mengetahui keadaanya itu.

“Saya kesal dan sedih kerana sewaktu menjadi presiden PKAVM, saya sering bertanya khabar rakan-rakan artis yang lain. Saya juga turut bersusah-payah mencari dana untuk persatuan demi menghulurkan bantuan kepada ahli yang berdepan masalah kewangan dan kesihatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, bila tiba giliran saya, tidak sangka, tiada rakan-rakan mahupun persatuan yang bertanyakan khabar.

“Saya ada maklumkan kepada Timbalan Presiden PKAVM, Sandakiah Azez mengenai keadaan kesihatan saya dan dialah satu-satunya yang datang melawat dan bertanya khabar.

“Tetapi yang lain-lain langsung tidak hiraukan keadaan saya... saya agak sedih apabila jarang ada yang sudi bertanyakan khabar," katanya.

Tommie berkata, dia kini tinggal bersama isteri dan anaknya di Bukit Antarabangsa, Selangor.

Tommie turut memaklumkan dia berulang-alik ke Hospital Lumpur Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan bulanan.

#Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia #bekas Presiden PKAVM #Tommie Tumiran #Kanser hati