Bekas Sukarelawan PDK didakwa 38 pertuduhan palsukan cek

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 30, 2024 05:00 MYT
Tertuduh ketika tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth pada Selasa. - Astro AWANI
BUTTERWORTH: Seorang bekas sukarelawan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Pulau Pinang didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas 38 pertuduhan memalsukan cek bernilai RM140,975 milik pusat tersebut.
Tertuduh, Jasmizatul Syuhada Jamaluddin, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah hari ini.
Mengikut pertuduhan, dia dakwa dengan curang menggunakan 38 cek Bank Islam tulen berjumlah RM140,975 yang diketahuinya adalah palsu di Bank Islam cawangan Bandar Perda, Bukit Mertajam diantara 9 Mei 2016 hingga 24 April 2017.
Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, jika disabitkan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan di kendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM), Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Noor Azura menawarkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Zulhazmi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin serta perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula pada 19 Mac depan.
#bekas sukarelawan #PDK #palsukan cek #Mahkamah Sesyen Butterworth