MELAKA: Seorang bekas tentera berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas 17 pertuduhan termasuk 15 tuduhan mencabul seorang prebet di dalam sebuah kem tentera tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Amanah Habhijullah, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga 15, tertuduh didakwa telah melakukan kekerasan jenayah kepada seorang lelaki berusia 20 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Tindakan itu dilakukan di Bilik Bujang Tingkat Dua, Villa Kesatria, 73, Batalion Ordnans Diraja, Kem Terendak, Sungai Udang di sini, sekitar tengah malam hingga jam 6 pagi antara 25 Ogos 2023 hingga 14 Oktober 2023.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa atas dua pertuduhan bawah Seksyen 323 kanun sama kerana dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama di lokasi sama pada jam 2 pagi 15 Oktober dan 3 petang 16 Oktober 2023 yang mana tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin yang turut mencadangkan jaminan keseluruhan sebanyak RM134,000 dan memohon syarat tambahan agar tertuduh tidak menghubungi serta mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Sementara itu, tertuduh diwakili peguam, S Daniel merayu jaminan rendah diberikan terhadap tertuduh dengan alasan tertuduh telah dua bulan tidak bekerja dan kini terpaksa menggunakan wang simpanan serta pinjaman untuk menyara ibu bapanya selain dalam proses diberhentikan kerja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM11,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin tempatan bermastautin di Melaka serta perlu melapor diri di Balai Polis Tanjung Minyak pada setiap bulan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan selain menetapkan 30 April depan sebagai sebutan semula kes.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian