KUALA LUMPUR: Hujan lebat diikuti ribut petir dan banjir kilat akibat ketidaktentuan cuaca kebelakangan ini bukan sahaja menjejaskan kerja di lapangan termasuk tapak binaan tetapi juga mencetuskan risiko keselamatan pekerja.
Fenomena cuaca melampau yang ada kaitannya dengan perubahan iklim ini bukan perkara baharu dan banyak kajian menunjukkan kesannya semakin memburuk dan mampu mengundang bencana alam lebih kerap.
Senario ini sudah tentu memerlukan semua pihak berwajib termasuk majikan memberi perhatian berat kepada keselamatan pekerja mereka di lapangan terutamanya ketika berdepan cuaca buruk, dan bukan mementingkan keuntungan serta membiarkan mereka terus bekerja.
Mengulas mengenai perkara ini, Timbalan Ketua Pengarah (Keselamatan Pekerjaan), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) Mohd Anuar Embi memberitahu Bernama, majikan dan pekerja perlu sentiasa berwaspada terhadap situasi cuaca dan akur dengan prosedur operasi standard (SOP) kerja yang selamat.
Menurut beliau, keperluan itu termaktub dalam peraturan, garis panduan dan perundangan berkaitan keselamatan serta kesihatan pekerjaan.
Beliau menekankan bahawa mana-mana majikan yang dikesan sengaja mengabaikan keselamatan pekerja termasuk yang mengarahkan mereka meneruskan kerja di lapangan meskipun berdepan cuaca buruk, boleh dikenakan tindakan.
Ianya selaras dengan Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan kewajipan kepada setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja terjaga termasuk dalam situasi cuaca buruk.
Kegagalan pihak majikan untuk mematuhi peruntukan perundangan sedia ada juga boleh menyebabkan pihak berkenaan didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
"Di dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 pula, kesalahan seumpama ini boleh disabitkan di bawah peruntukan kewajipan untuk menjalankan dan melaksanakan pentaksiran risiko.
"Penalti apabila sabit kesalahan yang diperuntukan bagi kesalahan ini adalah didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,'' katanya sambil menambah, JKKP sentiasa memberi tumpuan penguatkuasaan di sektor pembinaan bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam terjamin.
Sepanjang tahun 2021, JKKP membuat pemeriksaan ke atas sebanyak 16,707 tapak pembinaan di seluruh negara dan dalam pemeriksaan itu, pihak berkenaan turut mengambil tindakan punitif ke atas ketidakpatuhan perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
Menurut Mohd Anuar, bagi tahun 2021, JKKP mengeluarkan sebanyak 327 kompuan dengan nilai RM633,000 selain 52 kes juga didakwa di mahkamah dengan melibatkan jumlah penalti sebanyak RM777,500.
Beliau menambah, JKKP telah dan sedang melaksanakan beberapa langkah jangka panjang sebagai langkah penambahbaikan berterusan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang mampu mengurangkan insiden termasuk risiko cuaca.
Antara langkah berkenaan adalah menggubal dan menambahbaik perundangan berkaitan sektor pembinaan termasuk Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pindaan 2022 supaya kekal relevan dan sesuai dengan kehendak semasa.
JKKP turut menggalakkan pemakaian Garis Panduan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Industri Pembinaan (OSHCIM) 2017.
"Garis panduan ini menitikberatkan tanggungjawab semua pihak iaitu pemunya, pereka bentuk dan pembina atau kontraktor di awal peringkat pembinaan sehinggalah ke peringkat perobohan, untuk mengenal pasti dan mengawal risiko KKP bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.
"Garis Panduan ini juga sedang diusahakan untuk dinaik taraf menjadi peraturan yang wajib dipatuhi oleh semua pemain industri pembinaan,'' katanya.
Ramai yang mungkin masih ingat video yang tular di media sosial sekitar Februari lepas yang menunjukkan detik cemas menimpa beberapa orang pekerja yang berada dalam gondola yang kelihatan berpusing-pusing akibat ditiup angin kencang, sehingga terlanggar struktur bangunan.
Mengulas insiden berkenaan, Mohd Anuar berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang kembali termasuk mewajibkan majikan menjalankan pentaksiran risiko dan mengambil langkah pencegahan dan kawalan di lokasi pekerjaan bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.
"Contohnya apabila ribut berlaku di tapak binaan misalnya, ia akan menjejaskan kestabilan stuktur sementara (bangunan dalam pembinaan) seperti perancah, acuan dan penyangga serta jentera pembinaan lain termasuk kren dan gondola.
"Situasi itu pasti akan mengundang bahaya bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga orang awam yang berada berhampiran lokasi pembinaan tersebut,'' katanya.
Menurut beliau, peruntukan berkaitan kewajipan untuk menjalankan pentaksiran risiko dan melaksanakan langkah kawalan termaktub dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pindaan 2022.
Menerusi akta berkenaan juga, pekerja diberi hak mengasingkan diri dari lokasi pekerjaan sekiranya berasakan diri mereka berada dalam bahaya termasuk berdepan cuaca buruk.
"Seseorang pekerja, selepas memberitahu majikannya atau wakilnya yang dia mempunyai justifikasi yang munasabah untuk mempercayai terdapat suatu bahaya hampir pasti berlaku di tempat kerjanya, dia mempunyai hak untuk mengeluarkan dirinya daripada bahaya atau kerja itu sekiranya majikan gagal mengambil apa-apa tindakan untuk menghapuskan bahaya itu.
"...dan seseorang pekerja yang mengeluarkan dirinya daripada bahaya hendaklah dilindungi daripada akibat tidak wajar dan tidak boleh didiskriminasikan,'' katanya.
Mohd Anuar menegaskan, JKKP sentiasa serius dalam meningkatkan tahap keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja serta orang awam iaitu dengan menjalankan serta meningkatkan kerja penguatkuasaan, penetapan standard selain aktiviti promosi bagi meningkatkan tahap kesedaran berhubung keselamatan.
Sementara itu, mengulas mengenai risiko perubahan iklim terhadap industri pembinaan negara, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid berkata, Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) atau Penyelia Keselamatan Tapak Bina (SSS) harus dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku ancaman cuaca buruk di lokasi tapak pembinaan.
Menurut beliau, ia adalah penting agar pihak terbabit dapat menyediakan langkah pengurusan risiko serta membangunkan SOP yang bersesuaian bagi memastikan pekerja dan persekitaran pekerjaan selamat.
Majikan dan pekerja juga, katanya, perlu cakna terhadap sebarang perubahan cuaca serta amaran dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk daripada Jabatan Meteorologi Malaysia dan mematuhi arahan yang dikeluarkan.
"Pegawai dan penyelia yang menyelia kawasan tapak binaan perlu peka dengan sebarang perubahan cuaca, mereka juga perlu menyediakan dokumen HIRARC iaitu Pengenalpastian Hazard (Bahaya), Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko bagi tapak binaan di bawah kawalan dan seliaan mereka.
"Buat masa ini sesetengah elemen berkaitan risiko impak daripada perubahan iklim telah pun ada dalam latihan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan pembinaan. Namun, masih ada ruang untuk di tambah baik bagi memberi pengetahuan yang lebih menyeluruh dan spesifik berkaitan risiko perubahan iklim,'' katanya.
Antara latihan yang ditekankan adalah menerusi Garis Panduan Dan Manual Pembinaan Berdaya Tahan Terhadap Bencana Banjir Dan Tanah Runtuh yang dilaksanakan sejak tahun lepas.
"Melalui penghasilan garis panduan dan manual tersebut, latihan penggunaannya turut didedahkan kepada pihak berkuasa tempatan dan pemain industri.
"Kita juga mengeluarkan panduan keselamatan, sijil ISO dan Piawai Industri Pembinaan untuk diguna pakai di tapak binaan dan penyelenggaraan, yang merangkumi pakaian keselamatan, peralatan keselamatan dan panduan kerja selamat,'' tambah Ahmad Asri.
-- BERNAMA
Bernama
Fri Jun 24 2022
Fenomena cuaca melampau yang ada kaitannya dengan perubahan iklim ini bukan perkara baharu dan banyak kajian menunjukkan kesannya semakin memburuk dan mampu mengundang bencana alam lebih kerap. - Gambar hiasan
Freedom Flotilla to Gaza: Pelayaran sekali lagi ditangguh, Israel didakwa terus cetus kekacauan - FFC
Rejim Israel terus-menerus mahu menghalang pergerakan kapal-kapal terlibat dalam misi ini.
Taikun Vietnam dihukum penjara 8 tahun kerana tipu pelabur AS$40 juta
Tran Qui Thanh didapati bersalah menipu pelabur berhubung pinjaman yang dikeluarkan pada 2019 dan 2020.
Negara perlu beri pengajaran tegas, haramkan Bruce Gilley
Wisma Putra wajar menggesa kedutaan AS tampil memberi penjelasan dan memohon maaf kepada rakyat serta kerajaan Malaysia.
PRK KKB: MIPP jamin PN akan terima undi terbesar kaum India
Punithan berkata, pihak lawan dilihat mula menunjukkan kebimbangan dan rasa takut dengan kekuatan yang dimiliki PN ketika ini.
Akaun Fleksibel KWSP bantu penuhi keperluan kecemasan pencarum - Pakar
Ia merupakan antara alternatif KWSP untuk memenuhi keperluan dan dana kecemasan pencarum dalam mendepani cabaran menjalani kehidupan sebelum bersara.
Trend kenaikan harga emas di Malaysia mungkin berkekalan - Penganalisis
Trend kenaikan harga emas di Malaysia mungkin akan berterusan, didorong oleh gabungan pelbagai faktor ekonomi global dan gelagat pelabur.
Capital A akan jual 100 peratus kepentingan dalam AirAsia Aviation Group, AirAsia dengan harga RM6.8 bilion
Ia memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan AAG untuk menjual AAAGL bernilai RM3 bilion manakala AAB dengan harga RM3.8 bilion.
Jawatankuasa RTG pertimbang senaraikan Nurul Izzah dalam program Fast Track RTG
Hannah berkata segala keputusan mengenai program berkenaan akan dibincangkan dan diputuskan bersama jawatankuasa program.
KWSP: Mengimbangi mandat persaraan dan sokongan kelangsungan ekonomi ahli - Pakar
Mohd Afzanizam menegaskan bahawa KWSP bukan satu-satunya organisasi yang bertanggungjawab dari segi menambah baik kehidupan masyarakat.
CAP minta kerajaan pertimbang tubuh Suruhanjaya Amal Malaysia
Mohideen berkata suruhanjaya itu pernah dicadangkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 2020.
Bekerja dalam keadaan cuaca buruk, majikan boleh diambil tindakan
Hujan lebat diikuti ribut petir dan banjir kilat akibat ketidaktentuan cuaca bukan sahaja menjejaskan kerja di lapangan termasuk tapak binaan tetapi juga mencetuskan risiko keselamatan pekerja.
Dosh: Kertas siasatan runtuhan jambatan kedua Pulau Pinang dalam peringkat akhir
Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (Dosh) berkata kertas siasatan berhubung kejadian runtuhan pada 6 Jun lalu, kini sedang diperingkat akhir untuk disiapkan.