Kerajaan Persekutuan digesa agar membekukan kelulusan bagi projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dengan kadar segera.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata dalam keadaan beberapa peruntukan terpaksa dipotong dalam Bajet 2017 baru-baru ini, tumpuan perlu diberikan kepada usaha meringankan beban rakyat.

"Pada masa peruntukan kepada rakyat dipotong, Datuk Seri Najib mengekalkan RM3.913 bilion kepada dua konsesi lebuh raya ini iaitu bersamaan dengan 12 peratus daripada perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan yang diperuntukkan bagi 2017, iaitu RM32 bilion," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Menurut Rafizi kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM995 juta (RM360 juta untuk pengambilan tanah dan RM635 juta pinjaman mudah dengan kadar 4 peratus) kepada EKVE dan RM2,918 juta (RM1,140 juta untuk pengambilan tanah dan RM1,178 juta pinjaman mudah dengan kadar 4 peratus) kepada SUKE.

"Saya akan menulis secara rasmi kepada Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perancangan Ekonomi), Menteri Kerja Raya dan Menteri Besar Selangor agar segala kelulusan dibekukan secepat mungkin," katanya lagi.