Belanjawan 2020: Pertimbang elaun kesusahan bandaraya, selaraskan elaun COLA - CUEPACS

Astro Awani
September 25, 2019 11:15 MYT
Jelasnya sara hidup yang kian meningkat itu bukan saja dirasai kakitangan awam di bandar tetapi juga di kawasan luar bandar. - Gambar fail
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan elaun kesusahan bandaraya.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata ianya bagi meringankan kos sara hidup dalam kalangan penjawat awam khususnya di bandaraya yang kritikal.
“Perkenal elaun kesusahan bandaraya. Yang paling teruk mungkin di Johor Bahru, paling teruk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan beberapa bandar (seperti) Johor Bahru, di Pulau Pinang.
“Contohnya di Johor Bahru kesannya pada pertumbuhan di Singapura masalahnya ia sangat memberi kesan kepada kehidupan orang Johor Bahru. Contohnya pasar tani di Johor Bahru harganya paling mahal sekali dalam pasar tani seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tri Tahunan CUEPACS Terengganu di sini hari ini.
Sementara itu beliau turut memohon Elaun Kos Sara Hidup (COLA) bagi penjawat awam diselaraskan.
Azih berkata ia bagi mengimbangi kos sara hidup yang makin meningkat.
Jelasnya sara hidup yang kian meningkat itu bukan saja dirasai kakitangan awam di bandar tetapi juga di kawasan luar bandar.
“CUEPACS minta COLA diselaraskan di seluruh negara jadi harapan kita supaya melalui bajet ini sebagai mengimbangi kos meningkat supaya elaun COLA diselaraskan di seluruh negara. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu, sekarang dapat RM300 dan kalau selaras, mereka ini tak dapat satu sen pun (tambahan COLA),” katanya lagi.
Justeru beliau berharap menerusi Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan bulan depan memberi impak yang positif.
#Azih Muda #bajet #Belanjawan2020 #cola #cuepacs #Johor Bahru #Kuala Lumpur #penjawat awam