Belanjawan 2021: 500,000 kanak-kanak dapat manfaat program imunisasi pneumokokal

Fareez Azman
November 6, 2020 09:40 MYT
Sebanyak RM90 juta diperuntukkan bagi program imunisasi pneumokokal untuk kanak-kanak. Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM90 juta bagi program imunisasi pneumokokal untuk kanak-kanak di negara ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata program itu dijangka memanfaatkan seramai 500,000 kanak-kanak.
"Segmen kesihatan awam lain juga akan diberi tumpuan. Oleh itu, kerajaan akan melaksanakan program imunisasi pneumokokal untuk kanak-kanak dengan peruntukan RM90 juta yang dijangka memanfaatkan 500,000 kanak-kanak.
"Selain itu, sebanyak RM6 juta turut diperuntukkan untuk perolehan ubat biologik bagi pelbagai jenis penyakit rheumatologi seperti rheumatoid arthritis," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam pada itu, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM25 juta bagi program rawatan Peritoneal Dialysis.
"Kerajaan juga memperuntukkan RM25 juta bagi program rawatan Peritoneal Dialysis di rumah bertujuan meningkatkan kualiti rawatan pesakit buah pinggang serta mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di hospital," katanya.
PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2021
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Belanjawan 2021 #golongan B40 #kerajaan #kesihatan #pesakit buah pinggang #Kanak-kanak #vaksin #imunisasi pneumokokal