Perlu difahami bahawa belanjawan merupakan suatu perancangan yang anjal, menggariskan matlamat yang ingin dicapai, seterusnya memperincikan anggaran pendapatan dan perbelanjaan bagi tempoh setahun mendatang.
Persoalan utama yang perlu dibangkitkan, sejauhmana belanjawan boleh melonjakkan pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan, dan meringankan beban hidup rakyat?
Selain itu, adakah strategi yang diambil menepati sasaran, adakah inisiatif yang diambil mencukupi, dan adakah masih ada ruang yang boleh diberbaiki?
Bajet Terbesar
Belanjawan 2021 dirangka berlandaskan strategi mengembang (expansionary budget), dengan peruntukan terbesar dalam sejarah, iaitu RM322.5 billion (20% KDNK).
Tiga matlamat utama Belanjawan 2021 adalah Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan, dan Ketahanan Ekonomi.
Segala inisiatif yang dirangka mengandungi langkah-langkah ‘counter-cyclical’ bertujuan mengurangkan impak COVID-19 terhadap rakyat dan negara.
Daripada jumlah tersebut, RM236 bilion diperuntukkan untuk tujuan mengurus (73%), RM69 bilion untuk tujuan pembangunan (21%), dan RM17 bilion untuk Kumpulan Wang COVID-19, manakala RM2 bilion diperuntukkan bagi simpanan luar jangka.
Dengan anggaran kutipan hasil Kerajaan berjumlah RM236.9 bilion, defisit fiskal 2021 diunjur pada kadar 5.4% berbanding KDNK.
Tiga kementerian yang mendapat peruntukan tertinggi adalah Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan, merangkumi 38.5% daripada keseluruhan bajet, iaitu RM117.5 bilion. Ini sekaligus menjadi bukti keutamaan yang didahulukan Kerajaan dalam tempoh kritikal ini.
Memenuhi Keperluan?
Secara umumnya, Belanjawan 2021 adalah kesinambungan kepada inisiatif jangka-pendek yang telah diumumkan dalam empat (4) pakej rangsangan ekonomi yang terdahulu, iaitu Pakej PRIHATIN, PRIHATIN PKS, PENJANA dan KITA PRIHATIN, bernilai RM305 bilion.
Jika diperhatikan ucapan YB Menteri Kewangan, beliau telah menggariskan matlamat pertama Belanjawan 2021 adalah Kesejahteraan Rakyat, dengan Strategi Pertama, memerangi pandemik COVID19 dan melindungi kesihatan awam.
Sejumlah peruntukan yang besar didahulukan untuk membendung gelombang ketiga COVID19, khususnya meningkatkan tahap perubatan, fasiliti, pengurusan bencana dan kebajikan petugas barisan hadapan, selain komitmen Kerajaan untuk mendapatkan sumber vaksin COVID-19 (RM3 bilion) serta penerusan pelbagai inisiatif penjagaan kesihatan rakyat yang holistik dan mampu milik.
Memanfaatkan B40 dan M40?
Strategi Kedua yang digariskan adalah memelihara kebajikan golongan rentan, melibatkan penambahbaikan bantuan kewangan kepada OKU, warga emas, kelompok miskin, serta pemberian Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) mengikut kategori pendapatan yang lebih baik, bakal memanfaatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan RM6.5 bilion berbanding 4.3 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion di bawah BSH sebelum ini.
Di samping itu, pelbagai inisiatif untuk meringankan beban hidup rakyat, melibatkan penurunan kadar cukai pendapatan, bantuan pembayaran bersasar (bagi menggantikan moratorium automatik), pengurangan caruman KWSP pekerja daripada 11% kepada 9% untuk tempoh 12 bulan, pengeluaran i-Lestari KWSP dan pengeluaran Akaun 1 KWSP secara bersasar sehingga RM6,000 untuk tempoh 12 bulan.
Semuanya ini bertujuan untuk meningkatkan perbelanjaan boleh guna (disposable income) dalam kalangan rakyat, disusuli pelbagai subsidi, bantuan dan insentif berjumlah RM28 bilion bagi mengawal kenaikan harga barang, memanfaatkan segmen B40 dan M40 secara keseluruhannya.
Menjana pekerjaan?
Strategi Ketiga yang digariskan kerajaan adalah menjana dan mengekalkan pekerjaan.
Melalui pembukaan semula sektor ekonomi serta pelaksanaan inisiatif PRIHATIN dan PENJANA, kadar pengangguran telah turun kepada 4.7% pada Ogos 2020, berbanding 5.3% pada Mei 2020 atau 820 ribu penganggur, iaitu tertinggi sejak 1989.
Bagi tahun 2021, Kerajaan akan melaksanakan Skim JanaKerja yang melibatkan penyediaan 500 ribu peluang pekerjaan termasuk program latihan kemahiran berjumlah RM3.7 bilion.
Selain itu pelbagai program penempatan semula dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja, graduan dan penganggur di bawah PERKESO, HRDF, MDEC, PERHEBAT, dan KPT akan diteruskan, di samping program MySTEP dengan kerjasama GLC serta penerusan Program Subsidi Upah secara bersasar kepada majikan dan usahawan terjejas.
Melonjakkan ekonomi?
Intipati utama langkah ‘counter-cyclical’ dalam Belanjawan 2021 adalah untuk melonjakkan pemulihan ekonomi negara, melalui segala inisiatif yang digariskan dalam Matlamat Kedua dan Matlamat Ketiga.
Fokus kerajaan adalah untuk memacu pelaburan, memperkukuh sektor utama dan memudah akses perniagaaan. Antaranya peruntukan lebih RM5 bilion sebagai pakej galakan pelaburan berteknologi tinggi (R&D), insentif cukai kepada pelabur tempatan dan asing, serta pelbagai skim dan pembiayaan mikro kredit kepada sektor terpilih seperti pelancongan, pembangunan, infrastruktur, pertanian dan PKS.
Suntikan kerajaan dalam sektor PKS dan keusahawanan ini dijangka dapat meringankan aliran tunai dan mengurangkan tekanan kos yang sedang ditanggung, di samping menyerap risiko pemberhentian pekerja dalam sektor terjejas.
Manakala pendekatan belanjawan mengembang (expansionary budget) merupakan langkah terbaik mengukuhkan ketahanan ekonomi negara.
Sejumlah RM2.5 bilion diperuntukkan kepada kontraktor kelas G bagi menjalankan projek kecil dan sederhana di seluruh negara, di samping peruntukan lebih RM18.8 bilion bagi membiayai projek infrastruktur berskala besar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang bakal membawa limpahan ekonomi dan pendapatan kepada penduduk sekitar, dalam jangka masa panjang.
Selain itu, pelbagai projek baharu di lima koridor pembangunan ekonomi akan memastikan keseimbangan pembangunan antara wilayah, bertujuan untuk meluaskan prospek ekonomi dan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar seperti NCER, ECER, IRDA, SCORE dan SDC.
Kerajaan turut mengambil inisiatif menggalakkan penglibatan NGO dan perusahaan sosial (social enterprise) melalui geran padanan dan agihan RM100 juta peruntukan kepada NGO yang terlibat dalam usaha penjanaan pendapatan golongan rentan, menangani isu sosial dan pemeliharaan alam sekitar.
Keprihatinan dan kesaksamaan
Belanjawan 2021, walaupun tidak sempurna, namun mencukupi bagi mengimbangi segala keperluan dan kehendak semasa. Ianya bersifat PRIHATIN dan BERSASAR, bukannya melalui kenaikan cukai, tetapi melalui perlindungan kebajikan, rangsangan ekonomi, dan penjanaan pendapatan.
Terlebih penting adalah kualiti penyampaian (delivery) dan keberkesanan segala bantuan dan projek yang diumumkan, diikuti proses pemantauan berterusan, dipandu oleh kecekapan dan INTEGRITI yang tinggi di pihak kerajaan.
Manakala akses dan kecaknaan rakyat (awareness) terhadap segala bantuan kerajaan perlu dipertingkatkan, bagi memastikan Belanjawan 2021 dapat diagih secara SAKSAMA, dan dikongsi secara bersama.
Firman Allah SWT (maksudnya): “Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkannya; Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.” (Al-Isra’: 30)
* Syahir Sulaiman merupakan Setiausaha Politik kepada Presiden Pas
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.