PUTRAJAYA :Kementerian Kesihatan (KKM) berharap mendapat peruntukan yang lebih besar dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dapat diberikan kepada rakyat dalam merawat penyakit berjangkit dan tidak berjangkit.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pihaknya merancang untuk menubuhkan hospital penyakit berjangkit dengan peruntukan yang akan diberikan kepada kementerian itu.

“KKM sememangnya mengharapkan lebih banyak lagi peruntukan kepada kementerian untuk kami memberi perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia.

“Kami juga melihat kepada penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit.


“Kami juga melihat kepada penubuhan hospital penyakit berjangkit,” kata Dr Noor Hisham dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 pada Rabu.

Beliau berkata, KKM juga mempunyai perancangan untuk menambah latihan untuk pakar kesihatan di lapangan dan perubatan di hospital.


“Kami juga melihat kepada penambahan latihan-latihan kepada pakar kami di lapangan dan juga kesihatan di lapangan dan juga perubatan di hospital.

“Jadi kami memang memerlukan penambahan peruntukan untuk KKM untuk meningkatkan lagi aktiviti dan perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.

Belanjawan 2021 akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November depan.

Kemas kini kes COVID-19 di Malaysia setakat 28 Oktober 2020.⁠