KUALA LUMPUR :Strategi pemulihan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan nyata membuahkan hasil apabila pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, daripada negatif 28.6 peratus direkodkan pada April 2020 ia pulih kepada negatif 3.2 peratus pada Jun 2020.

"Pelan pemulihan ekonomi secara berfasa telah diperkenalkan menggunakan pendekatan 6R iaitu Resolve (Ketegasan), Resilience (Ketahanan), Restart (Memulakan Semula), Recovery (Pemulihan), Revitalize (Menghidupkan Semula) dan Reform (Penyusunan Semula)," kata Tengku Zafrul ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Di bawah pendekatan Ketahanan, kerajaan memperkenalkan pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan bernilai RM260 bilion bagi menangani kesan penutupan ekonomi.

"Bermula Mei 2020, setelah lekuk jangkitan COVID-19 berjaya diratakan, kita memasuki fasa Memulakan Semula yang menyaksikan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.

"Selanjutnya, negara beransur ke peringkat Pemulihan, di mana kerajaan menggerakkan pakej rangsangan PENJANA berjumlah RM35 bilion dan KITA PRIHATIN bernilai RM10 bilion.

"Keseluruhan pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan bernilai RM305 bilion atau 20.7 peratus daripada KDNK." katanya.

Katanya, pada tahun 2021 pula, ekonomi negara dijangka kembali pulih dan berkembang pada kadar antara 6.5 hingga 7.5 peratus.

Beliau berkata, ini sejajar dengan langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan melalui pakej rangsangan ekonomi, inisiatif Belanjawan 2021 selain disokong oleh pertumbuhan ekonomi global yang diunjur lebih baik iaitu sebanyak 5.2 peratus.

Tengku Zafrul menambah, krisis ekonomi yang dihadapi dunia kini adalah yang terburuk sejak era the Great Depression pada sekitar tahun 1930-an.

"Tidak pernah lagi, dalam sejarah moden manusiawi, sejenis wabak memberi impak begitu besar sekali.

"Penularan COVID-19 bukan sahaja meragut nyawa, malah turut menjerut ekonomi negara-negara sedunia. Tiada garis panduan mahupun sebarang petunjuk lampau yang boleh dijadikan rujukan, kerana this is an unprecedented crisis," katanya.

Tambah beliau Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi global mencatat pertumbuhan negatif di paras 4.4 peratus pada tahun ini.

"Krisis yang berlaku pada masa ini turut menjejaskan ekonomi di lebih 150 buah negara. Ia merupakan krisis ekonomi terburuk sejak era the Great Depression pada sekitar tahun 1930-an," katanya.


PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2021