[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Belanjawan 2021: Wakil pemimpin Pakatan Harapan jumpa Menteri Kewangan

Hasimi Muhamad 01/11/2020 | 07:52 MYT
Lim Guan Eng tiba di Kementerian Kewangan, Putrajaya pada Ahad bagi mengadakan perbincangan dengan Tengku Zafrul berhubung pembentangan Belanjawan 2021. - Gambar Astro AWANI
PUTRAJAYA:Wakil pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) tiba di bangunan Kementerian Kewangan pada pukul 2.30 petang bagi mengadakan perbincangan bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berhubung Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini.
Difahamkan, mesyuarat yang melibatkan wakil PKR, DAP dan Amanah berlangsung pukul 3 hingga 5 petang ini.
PKR diwakili oleh empat pemimpin iaitu Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
Chen ketika ditanya media memaklumkan, enam cadangan utama akan dikemukakan oleh PKR kepada pihak kerajaan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2021.
Sementara itu, parti Amanah diwakili oleh Presidennya, Mohamad Sabu dan Pengarah Strategiknya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Sementara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula dilihat tiba pada pukul 2.59 petang.
Selain Guan Eng, turut kelihatan hadir mewakili parti tersebut adalah Setiausaha Publisiti, Tony Pua; Penolong Pengarah Pendidik Politik, Dr Ong Kian Ming serta Pengarah Strategik, Liew Chin Tong.
Sebelum itu, Tengku Zafrul turut mengadakan perbincangan dengan beberapa wakil pemimpin termasuk daripada UMNO, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pas serta Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Pada 28 Oktober lalu, Yand di-Pertuan Agong menyeru semua ahli parlimen memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Dewan Rakyat.
BACA: Belanjawan 2021: Tiada masalah untuk sokong, tapi biar diteliti dahulu - Tun M
#Belanjawan 2021 #pemimpin #Pakatan Harapan #Menteri Kewangan #Tengku Zafrul #Lim Guan Eng #Mohamad Sabu #Saifuddin Nasution #DAP #PKR #Amanah #UMNO #PRS #GRS